![]() |
|
Masyarakat di negara ini yang tidak mempunyai kelayakan akademik konvensional digesa merebut peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi laluan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL). Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata inisiatif yang disediakan pihaknya itu memberikan pilihan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kelayakan akademik individu sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran. Lebih menarik, beliau berkata lebih 60 peratus populasi bekerja dan bekerjaya di Malaysia layak untuk memohon Anugerah Kelayakan Akademik (APEL.Q) yang mengiktiraf pembelajaran individu melalui pengalaman sebelumnya. Katanya, APEL.Q hanya memerlukan pemohon untuk memenuhi minimum tahun bekerja sebagai pengalaman pada tahap sesuai dalam bidang yang relevan. "APEL.Q menjadikan sistem pendidikan tinggi kita lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran terdahulu. "Inisiatif ini selaras dengan lonjakan 1 Fokus Utama Kementerian Pendidikan Tinggi yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara," katanya. Hingga kini, sebanyak 10 institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan menawarkan pengajian alternatif menerusi laluan APEL.Q. Institusi berkenaan ialah Universiti HELP, Kuala Lumpur; Universiti Terbuka Malaysia (OUM); Universiti SEGi, Kota Damansara; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Pendidikan Sultan Idris; Asia e University; Universiti MAHSA; UNITAR International University; Universiti Teknologi Malaysia dan City University. Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pelajar yang mengikuti APEL.Q tidak perlu mengikuti kelas secara konvensional, namun kelayakan akademik pelajar tetap diiktiraf dalam sektor kerajaan, swasta, perkhidmatan awam di dalam dan luar negara. Katanya, pelajar APEL.Q dinilai menggunakan instrumen berikut secara berurutan iaitu portfolio, lawatan lapangan dan pengesahan, ujian cabaran (Challenge Test) serta kursus capstone yang menggabungkan hasil pembelajaran utama program dan menunjukkan bahawa pelajar sudah menguasai disiplin teras pengajian. "Kami di MQA sentiasa mengajak masyarakat di negara ini untuk terus meningkatkan kelayakan diri masing-masing dan mengambil peluang fleksibiliti yang ditawarkan menerusi APEL ini. "Selain menjadi satu daripada kaedah untuk mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat, APEL.Q juga akan melahirkan masyarakat berilmu yang menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara melalui pengiktirafan pekerja berkemahiran. "Semua itu akan memberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan sosial masyarakat seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi," katanya. Maklumat lanjut mengenai APEL.Q boleh dapatkan menerusi pautan https://www2.mqa.gov.my/APEL/APEL_Q/pengenalanapelq.cfm APEL.Q ialah kesinambungan daripada dua inisiatif inisiatif Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) sebelum ini, iaitu APEL. A (akses berterusan ke institusi pengajian tinggi) dan APEL.C (anugerah kredit berdasarkan pengalaman terkumpul untuk mendapatkan pemindahan kredit untuk kursus dalam program). Mohammad Shatar berkata, IPT tempatan turut disaran merebut peluang untuk menjadi Pusat Penilaian APEL (PPA) bagi membolehkan masyarakat untuk mengambil peluang menyambung pengajian ke peringkat yang mereka idamkan. "Hingga tahun ini, sudah ada 16 PPA Terbuka, 16 PPA Dalaman untuk laluan APEL.A dan 58 Pusat Penilaian APEL.C, justeru masyarakat di negara ini ambillah peluang untuk tingkatkan kelayakan menerusi laluan alternatif ini," katanya.
|
|
Sumber daripada : | ![]() |
