Konsep Malaysia Madani wajar diterapkan oleh pensyarah di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi melahirkan graduan lebih berkualiti. Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, antara agenda Malaysia Madani ialah menumpukan kepada penyelesaian masalah, memenuhi keperluan semasa negara dan menyentuh pencorakan masa depan. Beliau berkata, MQA yakin agenda itu dapat direalisasikan melalui pendidikan, justeru diharap IPT perlu melihat semula kaedah P&P bukan sekadar untuk menghabiskan silibus tetapi pada masa sama perlu memasukkan konsep madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Kaedah bagaimana tenaga pengajar boleh memasukkan ‘roh pendidikan’ kepada pelajar ialah dengan menerapkan elemen Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosial (JERIS). “Sekiranya JERIS dapat diterapkan, kita yakin IPT mampu melahirkan pelajar dan graduan yang berkualiti tinggi seterusnya membantu merealisasikan agenda konsep Madani seperti yang dihasratkan,” katanya. Konsep Malaysia Madani hangat diperkatakan sejak diperkenalkan Perdana Menteri, baru-baru ini. Konsep itu mengetengahkan tonggak dasar yang diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan ihsan. Perdana Menteri juga dilaporkan berkata, beliau mahu generasi muda bangkit sebagai kekuatan baharu konsep Malaysia Madani dengan menolak fahaman jumud dan kolot yang hanya merugikan bangsa. Bagi membolehkan perkara sedemikian tercapai, Mohammad Shatar berkata, pensyarah atau tenaga pengajar perlu memiliki elemen ‘High Touch’ iaitu mereka yang terlatih dan melengkapkan diri dengan sentuhan yang lebih sofistikated. Katanya, perkara itu menjadi elemen penting yang ditekankan dalam Perutusan Tahun Baru 2023, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. “Kita mahu generasi pelajar yang dilahirkan dapat melonjakkan imej Malaysia sebagai negara yang berintegriti dan bersih seperti dihasratkan oleh kepemimpinan negara. “MQA akan terus komited dalam menjaga kualiti pendidikan tinggi supaya semua agenda yang direncanakan dapat dijayakan,” katanya.
|
||
Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) |
