KPT Laksana Moratorium Pelawaan Kepada IPT Berstatus Swaakreditasi | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » KPT Laksana Moratorium Pelawaan kepada IPT Berstatus Swaakreditasi

KPT Laksana Moratorium Pelawaan kepada IPT Berstatus Swaakreditasi

 

Sepang: Bagi memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan moratorium pelawaan kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) berstatus swaakreditasi dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, perkara itu wajar dilakukan supaya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dapat melihat semula kriteria penilaian sebagai IPT berstatus swaakreditasi.

Bagaimanapun, katanya, moratorium itu hanya membabitkan permohonan baharu dan bukan yang sedang diproses oleh MQA.

"Selain itu, pengauditan dan penambahbaikan berterusan lebih berstruktur kepada semua IPT swaakreditasi sedia ada turut akan diadakan.

"Pelaksanaan ini wajar dilakukan mengambil faktor penilaian yang telah dibentangkan dan keperluan kita memelihara status IPT berprestij di negara ini," katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus MQA bersama IPT Berstatus Swaakreditasi, di Universiti Multimedia (MMU), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MQA; Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su'ud; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA menjalankan tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti), Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim dan wakil 19 IPT swaakreditasi.

Prof. Dr. Azlinda berkata, beliau turut menyarankan setiap IPT Swaakreditasi untuk memperkukuh pusat jaminan kualiti mereka dengan kakitangan yang mahir dilengkapi dengan latihan yang diiktiraf oleh MQA.

Katanya, sebagai contoh, penyertaan program 'Certified Quality Assurance Officer' (CQA) perlu menjadi kriteria utama untuk kakitangan yang ditempatkan di pusat jaminan kualiti universiti.

"Program CQA anjuran MQA akan mengiktiraf pegawai dan ahli akademik sebagai pegawai penilai jaminan kualiti dalaman di universiti secara langsung menjadikan mereka sebagai cermin MQA untuk IPT swaakreditasi," katanya.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, setiap IPT di Malaysia yang berstatus swaakreditasi adalah sebuah universiti yang berprestij.

Katanya, status 'berprestij' itu perlu dinilaikan dan diertikan sebagai sebuah universiti yang menjadi rujukan, panduan dan penandaarasan oleh universiti, kolej universiti, kolej dan PPT lain di negara ini.

"Reputasi ini adalah signifikan untuk dikekalkan dan dipelihara oleh semua IPT swaakreditasi," katanya.

 

Sumber dari : https://encr.pw/4BhpK

 

Tarikh Input: 03/05/2024 | Kemaskini: 03/05/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFTPAN~